Tuesday 18 October 2011

SAYIDINA ALI BIN ABI TALIB RA : Lahirnya di dalam Kaabah

Kata Sayidina Ali bin Abi Talib: Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan atau memegang kekuasaan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda: "Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya, untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatannya. Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.



Sayidina Ali dilahirkan pada hari Jumaat 13 haribulan Rejab, 12 tahun sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya. Ibunya, Fatimah telah melahirkan Sayidina Ali di Kaabah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya Abu Talib sedang melakukan tawaf di keliling Kaabah. Fatimah yang sarat mengandung, tiba-tiba terasa sakit hendak bersalin. Abu Talib menyangka, Fatimah hanya keletihan maka dia membawa Fatimah berehat di dalam Kaabah sebelum meneruskan wafatnya. Di waktu itulah lahirnya Sayidina Ali yang sangat besar jasanya sebagai Sahabat dan menantu Rasulullah, juga Amirul Mukminin bagi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW.  Kelahiran Sayidina Ali hanya disaksikan oleh ayah dan ibunya sahaja.

Ketika umur Sayidina Ali 6 tahun, Makkah sedang dilanda keadaan yang sukar. Orang-orang yang ramai anak, pasti terasa peritnya hendak memberi makan keluarganya. Di waktu itu Rasulullah SAW teringat jasa pak ciknya Abu Talib yang pernah menjaga baginda sewaktu kecil. Kini pak ciknya telah tua sedangkan anak-anaknya ramai. Maka sebagai membalas jasa pak ciknya itu, Rasulullah yang tika itu telah berkahwin dengan Siti Khadijah, telah mengambil Sayidina Ali tinggal bersamanya. Sejak itu Sayidina Ali diasuh oleh baginda sendiri. Betapa besarnya kasih sayang yang dicurahkan oleh Rasulullah kepada Sayidina Ali lantaran baginda sendiri telah kematian anak-anak lelakinya.

Berada bersama keluarga Rasulullah SAW telah memberi kesan yang sangat besar kepada pertumbuhan roh Sayidina Ali. Beliau menyaksikan dan mengikuti perkembangan jiwa dan fikiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang menjadi penghubung antara Sayidina Ali dan Allah SWT.
Di samping perjuangannya di bidang akidah, ilmu dan pemikiran, Sayidina Ali r.a. juga terkenal sebagai seorang pemuda yang memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah tentu, itu saja belum menjadi jaminan bagi seseorang untuk siap mempertaruhkan nyawanya membela kebenaran Allah dan Rasul-Nya. Imannya yang teguh laksana gunung dan kesetiaannya serta kecintaannya yang penuh kepada Allah dan Rasul-Nya, itulah yang menjadi pendorong utama.
Sayidina Ali r.a. tidak pernah menghitung-hitung risiko dalam perjuangan suci menegakkan Islam. Dengan jasmani yang tegap dan kuat, serta iman yang kukuh dan mantap, Sayidina Ali r.a benar-benar memenuhi syarat-syarat fizikal dan rohaniah untuk menghadapi tahap-tahap perjuangan yang serba berat. Di saat-saat Islam dan kaum muslimin berada dalam situasi yang kritis dan gawat, Sayidina Ali r.a seialu tampil memainkan peranan penting. Selama hidup, beliau tidak pernah mengalami hidup selesa.



Sejak muda remaja sampai akhir hayatnya, dia keluar masuk dari satu kesulitan kepada satu kesulitan lain. Dari satu pengorbanan kepada satu pengorbanan yang lain pula. Namun demikian, beliau tidak pernah menyesali nasib, bahkan dengan semangat pengabdian yang tinggi kepada Allah dan Rasul-Nya, beliau sentiasa siap-siaga menghadapi segala rintangan. 
Satu-satunya perkara yang menjadi keinginannya siang dan malam, hanyalah ingin memperoleh keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Kesenangan hidup duniawi baginya tidak penting dibandingkan dengan cinta dan redha dari Allah dan Rasul-Nya yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berani hidup di atas jalan kebenaran. Berkali-kali imannya yang teguh diuji oleh Rasulullah SAW. Setiap kali diuji, setiap kali itu juga Sayidina Ali lulus dengan meraih markah yang amat tinggi. Ujian pertama yang maha berat ialah yang terjadi pada ketika Rasulullah SAW menerima perintah Allah SWT supaya berhijrah ke Madinah.

Seperti diketahui, di satu malam yang gelap-gelita, komplot kafir Quraisy mengepung kediaman Rasulullah SAW dengan tujuan hendak membunuh baginda, bilamana baginda meninggalkan rumah. Dalam peristiwa itu, Sayidina Ali memainkan peranan besar. 
Beliau diminta oleh Rasulullah SAW supaya tidur di atas katil baginda dan menutup tubuhnya dengan selimut baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy. Tanpa tawar-menawar, Sayidina Ali menyanggupinya. Ia menangis bukan mencemaskan nyawanya sendiri, tetapi kerana bimbangkan keselamatan Rasulullah SAW yang saat itu berkemas-kemas hendak berhijrah meninggalkan kampung halaman.
Melihat Sayidina Ali menangis, maka Rasulullah bertanya, “Mengapa engkau menangis? Apakah engkau takut mati?”
Sayidina Ali r.a dengan tegas menjawab, “Tidak, ya Rasulullah! Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran, aku sangat khuatir terhadap dirimu. Apakah anda akan selamat, ya Rasulullah?”
“Ya,” jawab Nabi Muhammad SAW dengan tidak ragu-ragu.
Mendengar kata-kata yang pasti dari Rasulullah SAW, Sayidina Ali terus berkata, “Baiklah, aku patuh dan kutaati perintahmu. Aku rela menebus keselamatan anda dengan nyawaku, ya Rasulullah!”


Sayidina Ali berkata: Ilmu itu sebaik-baik pusaka. Adab itu sebaik-baik sifat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.


Sayidina Ali r.a segera menghampiri katil Rasulullah SAW kemudian menggunakan selimut baginda untuk menutupi tubuhnya. Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sudah mula berdatangan di sekitar rumah Rasulullah SAW dan mengepungnya dari setiap penjuru. Dengan perlindungan Allah SWT dan sambil membaca ayat 9 surah Yasin, baginda keluar tanpa diketahui oleh orang-orang yang sedang mengepung dan mengintip.
Orang-orang Quraisy itu menyangka, bahawa orang yang sedang berbaring dan berselimut itu pasti Nabi Muhammad SAW. Mereka yang mengepung itu mewakili suku-suku kabilah Quraisy yang telah bersepakat hendak membunuh Nabi Muhammad SAW dengan pedang secara serentak. Dengan cara demikian, tidak mungkin Bani Hasyim dapat menuntut balas.
Sayidina Ali r.a tahu apa kemungkinan yang akan menimpa dirinya yang tidur di katil Rasulullah SAW. Hal ini sama sekali tidak membuatnya sedih atau takut. Dengan kesabaran yang lua biasa, beliau berserah diri kepada Allah SWT. Beliau yakin, bahawalah Dialah yang menentukan segala-galanya.
Menjelang Subuh, Sayidina Ali r.a bangun. Gerombolan Quraisy terus menyerbu masuk ke dalam rumah. Dengan suara membentak, mereka bertanya, “Mana Muhammad? Mana Muhammad?”
Gerombolan Quraisy itu segera mencari-cari di seluruh rumah itu. Usaha mereka sia-sia belaka. Puak-puak kafir Quraisy itu benar-benar kecewa.
“Mana Muhammad? Mana Muhammad?” Mereka mengulangi pertanyaan.
“Apakah kamu semua melantik aku menjadi penjaganya?” ujar Sayidina Ali r.a dengan nada memperolok-olok.
“Bukankah kamu semua berniat mengeluarkannya dari negeri ini? Sekarang dia sudah keluar meninggalkan kamu semua!”
Ucapan Sayidina Ali r.a sungguh-sungguh menggambarkan ketabahan dan keberanian hatinya. Cahaya pedang terhunus yang berkilauan, sama sekali tidak dihiraukan, bahkan orang-orang Quraisy itu dicemuhkan. Seandainya ada seorang sahaja dari gerombolan itu menghayunkan pedang ke arah Sayidina Ali r.a, entahlah apa yang terjadi. Tetapi Allah tidak menghendaki hal itu.
Keesokan harinya, Sayidina Ali r.a berkemas-kemas mempersiapkan segala keperluan untuk berangkat membawa beberapa orang wanita Bani Hasyim, terutama Siti Fatimah r.a menyusul perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam hijrahnya ke Madinah. Rombongan Sayidina Ali r.a berangkat secara terang-terangan di siang hari. Setibanya di Dhajnan, berlaku keadaan yang sungguh mencemaskan antara kaum muslimin dan kaum musyrikin. Puak musyrikin telah berusaha menghalang rombongan Sayidina Ali dari meninggalkan kota Makkah.



Sayidina Ali r.a yang ketika itu berusia 26 tahun, merupakan orang pertama yang menghunus pedang untuk mematahkan cubaan bersenjata orang-orang kafir Quraisy. Dengan beraninya, beiiau menghayunkan pedang ke arah seorang musyrikin bernama Jenah yang berada di atas kudanya. Terbelahnya tubuh Jenah menjadi dua. Melihatkan keadaan itu, larinya 7 orang dari pasukan berkuda Quraisy yang sebelum itu mengejar rombongan Sayidina Ali. Dengan keberanian Sayidina Ali r.a itu, selamatlah rombongan kaum muslimin itu.
Ketika berlaku Perang Badar, yang merupakan perang pertama yang terpaksa diharungi oleh kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan memegang panji yang melambangkan tekad perjuangan inenegakkan agama Allah SWT itu ialah Sayidina Ali bin Abi Talib r.a.
Tanpa pengalaman perang sama sekali dan dengan kekuatan pasukan yang hanya sepertiga kekuatan musuh, pasukan muslimin dengan iman yang teguh berjaya mencipta sejarah yang sangat menentukan perkembangan Islam seterusnya. Senjata kaum muslimin waktu itu boleh dibilang dengan jari. Tentera muslimin juga tidak memiliki pasukan berkuda dan penunggang unta, iaitu pasukan yang dipandang paling ampuh pada masa itu. Begitu juga jumlah kuda dan unta berbanding jumlah pasukan yang ada, sehingga seekor unta ditunggang oleh dua hingga empat orang secara bergantian. Hanya ada seekor unta yang tersedia, iaitu yang ditunggang oleh Miqdad bin Al Aswad A Kindiy. Itulah kekuatan lahiriah pasukan Rasulullah SAW di dalam perang Badar.
Dalam perang Badar itu, pasukan muslimin tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya. Allahu Akbar.
Ketika peperangan mula berkobar, Sayidina Ali bersama Hamzah bin Abdul Mutalib dan beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Sayidina Ali r.a berkibar panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang menerjang pasukan musuh yang jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini untuk pertama kalinya kalimah “Allahu Akbar” berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin.
Saat itu terdengar suara musuh menentang, “Wahai Muhammad, suruhlah orang-orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy supaya tampil!”
Mendengar cabaran itu, laksana singa lapar, Sayidina Ali r.a meloncat mara ke depan mendekati suara yang mencabar itu. Terjadilah perang satu lawan satu antara Sayidina Ali r.a dengan AI Walid bin Utbah, saudara Hindun isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang Sayidina Ali r.a.
Dalam perang Badar ini, 70 orang pasukan kafir Quraisy mati terbunuh, dan hampir separuhnya mati di hujung pedang Sayidina Ali r.a. Selain itu, lebih dari 70 orang pemuka Quraisy berjaya ditawan dan dibawa ke Madinah. Perang Badar yang berakhir dengan kemenangan kaum muslimin itu merupakan fajar pagi yang menandakan sinar agama Allah SWT akan mula memenuhi bumi.


Gambar Hiasan


Dalam peperangan yang kedua yakni Perang Uhud, Rasulullah SAW menyerahkan panji kaum muhajirin kepada Sayidina Ali r.a. Sedangkan panji kaum Ansar diserahkan kepada salah seorang di antara mereka sendiri. Peperangan Uhud terkenal dalam sejarah sebagai peperangan yang amat gawat. 700 pasukan muslimin harus berhadapan dengan 3000 pasukan kafir Quraisy yang dipersiapkan dengan bekalan dan senjata serba lengkap. Selain itu diperkuat pula dengan pasukan wanita di bawah pimpinan Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan bin Harb, untuk memberikan dorongan moral agar orang-orang kafir Quraisy jangan sampai lari meninggalkan medan perang.
Untuk menghadapi kaum musyrikin yang sudah memusatkan kekuatan di Uhud, pasukan muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW menuju ke tempat itu, dengan melalui jalan singkat sehingga gunung Uhud berada di belakang mereka. Kemudian Rasulullah SAW mula mengatur barisan. 50 orang pasukan pemanah ditempatkan di sebuah lembah di antara dua bukit. Kepada mereka diperintahkan supaya menjaga pasukan yang ada di belakang mereka. Ditekankan jangan sampai meninggalkan tempat, walau dalam keadaan apa sekalipun. Sebab hanya dengan senjata panah sahajalah serbuan pasukan berkuda musuh dari belakang dapat ditahan. Perang Uhud mula berkobar dengan tampilnya Sayidina Ali r.a ke depan menghadapi tentangan Talhah bin Abi Talhah yang mencabar dengan suara lantang, “Siapakah yang akan ke depan berlawan satu dengan satu?”

Dengan tewasnya Talhah bin Abi Talhah, pertarungan sengit berkecamuk antara dua pasukan. Sekarang Abu Dujanah tampil dengan memakai ikatan maut di kepala dan pedang terhunus di tangan kanan yang baru saja diserahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya. Dia seorang yang sangat berani. Laksana harimau keluar dari semak belukar itu maju menyerang musuh dan membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya. Bersama Abu Dujanah, Sayidina Ali r.a menghuru-harakan barisan musuh.

Seperti api disiram dengan minyak, semangat Sayidina Ali r.a membara. Dengan hayunan langkah tegap clan tenang, serta sambil mengetap giginya, beliau mara dengan pedang terhunus. Baru saja Talhah bin Abi Talhah menggerakkan tangan hendak menghayun pedang, secepat kilat pedang Sayidina Ali r.a “Dzul Fikar” menyambarnya hingga terbelah dua. Betapa bangga Rasulullah SAW menyaksikan ketangkasan putera bapa saudaranya itu. Ketika itu kaum muslirnin yang menyaksikan ketangkasan Sayidina Ali r.a, mengumandangkan takbir masing-masing.
Dalam pertempuran ini, Hamzah bin Abdul Mutalib tidak kalah semangat berbanding dengan putera saudaranya sendiri, Sayidina Ali r.a dan Abu Dujanah. Hamzah begitu lincah dan tangkas menerobos pasukan musyrikin dan menewaskan setiap orang yang berani menghampiri. Ia terkenal sebagai pahlawan besar dalam menghadapi musuh. Sama seperti dalam perang Badar, dalam perang Uhud ini, Hamzah benar-benar menjadi singa dan merupakan pedang Allah yang a sangat ampuh. Banyak musuh yang mati di hujung pedangnya.
Dalam pertempuran antara 700 pasukan muslirnin melawan 3000 pasukan musyrikin itu, kita saksikan gabungan kekuatan rohaniah dan lahiriah Sayidina Ali r.a, Hamzah dan Abu Dujanah. Suatu kekuatan yang membuat pasukan Quraisy menderita.
Sayang seribu kali sayang. Ketika tentera muslirnin hampir menang, mereka tergoda dengan harta rampasan perang yang banyak. Pasukan memanah terlupa pesanan Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi mereka. Mereka turun dari bukit untuk mengambil harta-harta yang ditinggalkan tentera musyrikin. Waktu itulah pihak musuh kembali menyusun barisan dan memulakan serangan ke atas tentera Islam yang sedang terleka.
Keadaan kembali gawat. Barisan tentera Islam telah bercerai-berai, terpisah dari pimpinan Rasulullah SAW. Di saat-saat genting itu, Sayidina Ali r.a dan para Sahabat lainnya segera melindungi Rasulullah SAW. Dengan segenap kekuatan yang ada, mereka menangkis setiap serangan yang datang demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Semua sudah bertekad untuk mati syahid, lebih-lebih lagi setelah melihat Rasulullah SAW terkena lemparan batu besar yang dicampakkan oleh Utbah bin Abi Waqash. Akibat lemparan batu itu, geraham Rasulullah SAW patah, wajahnya pecah-pecah, bibirnya luka parah dan dua kepingan rantai topi besi melindungi wajah baginda menembus pipinya.
Setelah dapat menguasai diri kembali, Rasulullah SAW berjalan perlahan-lahan dikelilingi oleh sejumlah Sahabat. Tiba-tiba baginda terperosok ke dalam sebuah liang yang sengaja digali oleh Abu Amir untuk menjebak pasukan muslirnin. Sayidina Ali r.a bersama beberapa orang Sahabat lainnya cepat-cepat mengangkat baginda. Kemudian dibawa naik ke gunung Uhud untuk diselamatkan dari diburu musuh. Di celah-celah bukit, Sayidina Ali r.a mengambil air untuk membasuh wajah Rasulullah SAW dan menyirami kepala baginda. Dua buah kepingan rantai besi yang menancap dan menembusi pipi baginda dicabut oleh Abu Ubaidah bin Al Jarrah dengan giginya, sehingga dua batang gigi depannya tertanggal.



Demikian sebahagian rentetan perjuangan Sayidina Ali yang turut terjun ke medan peperangan bersama Rasulullah SAW. Sayidina Ali terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah. Sewaktu hidupnya, beliau yang miskin, sangat suka membantu janda-janda dan anak-anak yatim tanpa pengetahuan mereka. Beliau selalu meletakkan makanan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam. Setelah beliau meninggal, barulah mereka tahu bahawa selama ini mereka mendapat makanan dari Sayidina Ali kerana setelah beliau tiada maka mereka tidak lagi mendapat makanan di pintu rumah mereka.
Sayidina Ali adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang sangat cerdik dan luas ilmunya. Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Sayidina Ali adalah gudang ilmu. Setelah kewafatan khalifah ketiga yakni Khalifah Usman Ibnu Affan maka Sayidina Ali dilantik sebagai khalilah yang keempat.
Kata Sayidina Ali: “Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan atau memegang kekuasaan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda: “Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya, untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatannya. Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.”
 


Sayyidina Ali berwasiat: Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan antara kamu. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu.

Allah SWT mentakdirkan Sayidina Ali meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Sayidina Ali dengan parah hingga beliau rebah. Sayidina Ali kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. 

Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Sayidina Ali sendiri dengan lapang dada dan ikhlas, langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan Sayidina Ali yang semakin lemah. Sayidina Ali tahu bahawa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang khalilah baginda sebelum ini.

Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Sayidina Ali sempat berwasiat: 
“Kuwasiatkan kepada kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu.
Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kalian dan jagalah hubungan persaudaraan antara kamu. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. 
Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu.”

Wallahua'lam


SUMBER 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...