Monday, 12 September 2011

ORANG PEMURAH DIKASIHI ALLAH

Gambar Hiasan


Pada zaman dahulu ada seorang wanita tua yang miskin. Dia hidup di sebuah kampung dalam masyarakat bani israil. Wanita tua itu bekerja mencari kayu api di dalam hutan. Setiap hari dia mencari kayu api di dalam hutan itu. Kayu-kayu itu dijualnya di pasar. Dari hasil jualan kayunya itulah dia menyara dirinya bersama seorang anaknya.
Pada suatu ketika negeri itu ditimpa kemiskinan. Di mana-mana sahaja terdapat orang meminta sedekah. Orang-orang kaya pula hanya mementingkan diri sendiri. Mereka tidak mahu menolong orang-orang yang susah. Mereka mengumpul makanan seberapa banyak yang boleh. Orang-orang miskin pula terus menderita. Keadaan itu berterusan sehingga bertahun-tahun lamanya. Semua orang sangat susah untuk mendapatkan makanan dan pekerjaan.

Pada suatu hari ada seorang peminta sedekah keluar mencari makanan. Dia pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain untuk meminta sedikit makanan. Tetapi dia tidak mendapat apa-apa rezeki.
Akhirnya peminta sedekah itu tiba di sebuah rumah buruk. Rumah itu terletak di hujung kampung tersebut. Rumah itu adalah kepunyaan wanita tua pencari kayu api.
Setelah peminta sedekah itu menghampiri rumah tersebut dia pun memberi salam. “Assalamualaikum,” sapanya dengan suara terketar-ketar. “Waalaikumussalam,” jawab wanita tua itu dari dalam rumah. Kebetulan pada masa itu dia sedang makan sekeping roti bersama anaknya. Itulah satu-satunya makanan yang ada padanya.
“Wahai mak cik, berilah hamba sesuap makanan. Sudah hampir seminggu hamba tidak makan,” rayu peminta sedekah itu. Apabila mendengar rayuan peminta sedekah itu, wanita tua itu berasa kasihan. Dia pun terus memberikan rotinya kepada peminta sedekah itu. Wanita tua itu berpendapat bahawa dia dan anaknya baru sehari tidak makan tetapi peminta sedekah itu telah seminggu tidak makan.
Setelah selesai makan peminta sedekah itu pergi dari situ. Dia mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada wanita tua itu. Wanita tua itu pula bersyukur kerana telah dapat memberi makanan kepada orang lain walaupun dia sendiri tidak makan.





“Ah tidak kusangka baik sungguh hati orang tua ini. Inilah pertama kali aku bertemu dengan orang yang begitu mulia sifatnya,” bisik hati peminta sedekah itu. Hatinya sentiasa mendoakan agar orang tua yang baik hati itu diberi balasan oleh Allah SWT.
Keesokan harinya wanita tua itu pergi ke hutan bersama dengan anaknya. Di dalam hutan itu dia mencari kayu-kayu yang elok untuk dijual di pasar. Anaknya disuruh menunggu kayu yang sudah dikumpul. “Anakku, jagalah kayu ini, ibu hendak mencari kayu di sana,” pesan ibu itu kepada anaknya. “Baik ibu, mudah-mudahan ibu akan mendapat kayu yang lebih banyak di sana,” sahut anaknya pula dengan lemah lembut.
Wanita tua itu meninggalkan anaknya dengan harapan akan mendapat kayu yang lebih banyak. Dia hanya bertawakal dan berserah kepada Allah SWT agar anaknya sentiasa selamat.
Setelah mendapat kayu yang banyak maka wanita tua itu kembali semula ke tempat anaknya untuk mengumpulkan kayu tersebut. Tetapi dia amat terkejut apabila mendapati anaknya sudah tiada di situ. Dia melihat di kiri dan kanan longgokan kayu itu terdapat kesan-kesan darah yang sudah hampir kering. Hatinya semakin risau. Lalu dia mencari-cari anaknya tetapi tidak berjumpa.
“Anakkku! Anakku!” jerit wanita itu sekuat-kuat hatinya. Setelah berkali-kali memanggil anaknya dan tidak mendapat jawapan, dia pun terus mengikut titisan darah itu. Setelah agak jauh, dia pun ternampak anaknya sedang dijinjing oleh harimau menuju ke arah sebuah belukar. Hatinya berasa  terlalu hiba dan sedih melihat keadaan anaknya, tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Masya-Allah anakku,” rintih wanita tua itu dengan linangan air mata. Lalu dia pun berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tolonglah anakku, kasihanilah anakku, kembalikanlah anakku itu dengan selamat, Ya Allah.”
Doa wanita tua itu tidak sia-sia. Allah SWT telah menerima permintaannya. Harimau itu pergi tanpa dihalau dan meninggalkan anak wanita tua itu begitu sahaja. Apabila melihat harimau itu telah pergi, wanita tua itu terus mendapatkan anaknya dengan linangan air mata gembira. Dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah menyelamatkan anaknya.
Tiba-tiba terdengarlah suara malaikat berkata-kata kepada wanita tua itu, “Wahai ibu yang suka bersedekah, aku keluarkan anakmu daripada mulut harimau dengan perintah Allah sebagai ganti sepotong roti yang engkau sedekahkan. Sudah relakah engkau?”
Akhirnya anak itu sembuh seperti sediakala. Demikianlah balasan Allah SWT kepada orang yang suka bersedekah. Dari itu marilah kita banyakkan bersedekah dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.




Wallahua'lam






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...