Sunday, 25 September 2011

WANG SARA UNTUK UMAR R.A


Gambar Hiasan

Umar r.a. mencari rezekinya dengan berniaga. Apabila dia mengganti Abu Bakar sebagai Khalifah dia telah mengumpulkan rakyat sekeliannya lalu berucap kepada mereka :

"Aku mencari makan dengan berjual beli. Oleh kerana kamu semua telah memilih aku untuk menjadi Khalifah, aku tidak dapat lagi menguruskan perniagaanku. Sekarang bagaimana dengan pencarianku? "

Berbagai-bagai syor telah dikemukakan mengenai pembayaran yang sepatutnya dibuat kepada Umar. Ali tidak membentangkan sebarang cadangan.

Umar bertanya kepada Ali : "Apakah cadanganmu, wahai Ali?"

Ali menjawab : "Ambillah wang sekadar yang boleh mencukupi keperluan keluargamu."

Cadangan Ali diterima dengan baiknya oleh Umar. Setelah beberapa lama kemudian, beberapa orang termasuk Ali, Usman, Zubair dan Talhah mencadangkan supaya wang saranya ditambah lagi, tetapi tiada seorang pun diantara mereka yang berani secara langsung mengemukakan cadangan ini kepada Umar. Akhirnya mereka terpaksa menemui Hafsah, anak perempuan Umar, untuk mendapatkan kerjasama.




Apabila ura-ura hendak menambah wang saranya dibayangkan kepada Umar oleh Hafsah, mukanya menjadi merah padam kerana kemarahannya. Dia bertanya :" Siapakah yang membuat cadangan ini? "

Hafsah : " Berikan pendapat kamu terlebih dahulu."

Umar : " Kalaulah aku tahu siapa orang-orang itu nescaya aku tempelengkan muka-muka mereka. Cerita kepadaku, Hafsah, tentang pakaian Nabi Muhammad s.a.w. yang terbaik sekali."

Hafsah : " Sepasang baju yang berwarna merah yang Nabi Muhammad s.a.w. pakai pada hari Juma'at ataupun apabila menerima tetamu."

Umar : " Apakah makanan yang paling lazat yang pernah dimakan olehNabi Muhammad s.a.w. dirumah kamu? "

Hafsah : " Roti yang diperbuat daripada tepung barli. Pada suatu hari saya telah menyapu sekeping roti dengan bekas-bekas mentega yang terdapat didalam sebuah tin yang hampir-hampir kosong. Baginda s.a.w.telah makan dengan penuh nikmat dan ingin pula membahagi-bahagikannya kepada orang lain. "

Umar : " Apakah hamparan yang paling baik yang pernah digunakan olehNabi Muhammad s.a.w. dirumah kamu? "

Hafsah : " Sehelai kain tebal. Pada musim panas kain itu dilipat empat dan pada musim sejuk ianya dilipat dua. Separuh digunakan sebagai alas tidurnya dan separuh lagi dijadikannya selimut."

Umar : " Nah sekarang, pergi katakan kepada mereka yang Nabi Muhammad s.a.w. telah merakamkan suatu darjah kehidupan yang terpaksa aku ikuti. Nabi Muhammad s.a.w., Abu Bakar dan aku sendiri adalah laksana tiga orang musafir yang menggunakan sebatang jalan yang sama. Yang pertama telah sampai ketempat yang ditujuinya. Begitu juga musafir yang kedua. Yang ketiga sekarang dalam perjalanannya. Kalau ia tidak menempuhi jalan mereka yang terdahulu, sudah tentu ia tidak akan sampai ditempat mereka."




Pada suatu hari dia sedang berkhutbah. Bahagian bawah bajunya kelihatan bertampal-tampal. Mengikut ceritanya, terdapat tidak kurang daripada dua belas lubang yang ditampal dengan kulit. Pada suatu ketika, dia tiba lambat dimasjid untuk menunaikan fardu Juma'at. Dia berkata pada para jamaah: " Maafkan saya. Saya terlambat kerana sibuk membasuh kain baju saya. Saya tidak ada yang lain untuk dipakai."

Utbah Bin Abifarqad hendak berjumpa dengan Umar pada suatu hari. Ketika itu dia sedang makan, selepas mengizinkan Utbah masuk dia menjemput Utbah makan bersama-sama. Roti yang diberikan kepadanya terlalu keras sehingga ia tidak dapat menelannya. Dia pun bertanya :" Mengapa tuan tidak menggunakan tepung yang baik untuk membuat roti?"

Umar : " Adakah tiap-tiap orang Islam mampu menggunakan tepung yang baik untuk membuat roti?"
Utbah : " Tidak"
Umar : " Nampaknya kamu mahukan aku menikmati segala jenis kebahagiaan dalam kehidupanku didunia ini. "

Wallahua'lam



SUMBER

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...