Friday 7 October 2011

MEDAN PERANG MUKTAH

Gambar Hiasan



Perang Muktah berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 Hijrah (629M) kerana Rasulullah saw hendak membela kematian seorang utusan baginda bernama Harith bin Umair Al Azdi yang dibunuh oleh raja Busro Syurahbil bin Amru Al Ghassani atas arahan Heraklius. 

Rasulullah saw sangat berduka cita kerana beliaulah satu-satunya utusan baginda yang dibunuh secara khianat keranamengikut undang-undang yang diterima bersama, seorang utusan tidak boleh dibunuh. 

Ini adalah maruah Islam. Ini perlu dibela, demi menunjukkan Islam di pihak yang benar. Kalau Perjanjian Hudaibiyah merupakan pendahuluan umrah Qadha hingga membawa kepada Futuh Mekah, perang Muktah ini pula pendahuluan kepada peperangan Tabuk, yang akhirnya membawa kepada pembebasan Syam. 

Maka Rasulullah saw mempersiapkan pasukan tentera seramai 3000 orang untuk menyerang tentera Rom seramai 100,000 orang yang bergabung dengan tentera-tentera Arab Badwi dan penganut agama kristian di bawah jajahan Rom seramai 100,000 orang. Ertinya 3000 menentang 200,000 orang.



Gambar Hiasan


Di dalam peperangan ini, Rasulullah saw tetapkan Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dan berpesan: “Jika gugur Zaid, Jaafarlah menggantinya, jika gugur Jaafar, Abdullah Rawahah pula menggantinya, jika Abdullah juga gugur, pilihlah pemimpin di kalangan kamu.” 

Maka berangkatlah tentera Islam, menuju ke sempadan jajahan Rom hingga sampai ke perkampungan Ma’an (sekarang dalam Negara Jordan), di situ mereka mendapat berita bahawa angkatan tentera Rom berjumlah 200,000 orang sedang menunggu mereka. 

Tentera Rom ketika itu sudah sampai Balqa’. Maka bermesyuaratlah tentera Islam mengenai strategi mereka. Ada yang berpendapat agar dihantar utusan kepada Rasulullah saw untuk meminta bantuan.

Ketika itulah, Saiyidina Abdullah bin Abu Rawahah, sebagai penyair Rasulullah berperanan memberikan ucapan yang penuh semangat: 


“Saudara-saudara, apa yang kita tidak suka, itulah yang kita cari sekarang iaitu mati syahid. Kita memerangi musuh bukan kerana kelengkapan, bukan kerana kekuatan juga bukan kerana jumlah tentera yang ramai. Tetapi kita memerangi mereka hanyalah kerana agama ini yang kerananya Allah memuliakan kita. Oleh itu, mari mara ke hadapan. Kita akan memperolehi salah satu dari dua kebaikan: menang atau mati syahid!! "


Ucapan Abdullah mendorong tentera Islam terus bersemangat berkobar-kobar mengharungi perperangan.





Medan Perang Muktah


Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang bertempur dengan gagah berani. Dari lepas Subuh hari pertama hingga hari keenam tentera Islam berjaya dalam setiap serangan. Tentera Rom tidak menyangka sama sekali, dengan bilangan yang sangat kecil, tentera Islam berani memulakan serangan. Ia mengakibatkan kematian yang banyak di pihak musuh malah menggerunkan hati-hati mereka.
Tetapi ketentuan Tuhan pasti berlaku, di hari keenam, tentera Rom membalas serangan. Ketua tentera dan pemegang bendera Islam ini tersungkur ketika panah-panah dan tombak-tombak milik pasukan Rom mulai mengoyak tubuhnya, dan sebelum kematiannya, ia menyerahkan bendera yang dibawanya kepada Saiyidina Jaafar yang berada dekatnya. Pergilah kekasih Rasulullah saw bertemu Kekasih Agung.
Kepimpinan tentera disambung oleh Saiyidina Jaafar yang berwajah tampan ini masih muda, wajahnya dan akhlaknya seperti Rasulullah saw. Belum lama pulang dari berhijrah ke Habsyah, sudah menggalas tugas yang besar. Dengan menunggang kudanya, ia menerobos di tengah-tengah musuh-musuhnya, pedang di tangan kanannya, bendera di tangan kirinya. Namun tidak berapa lama selepas itu, kuda milik Jaafar tersungkur ditusuk tombak musuh lalu Jaafar terjatuh. 

Satu hayunan pedang menebas tangan kirinya, bermati-matian ia mempertahankan bendera Rasulullah saw yang dibawanya dengan tangan kanan, namun lagi satu tebasan pedang memotong tangan kanannya, lalu ia mengapit bendera tersebut dengan kedua pangkal lengannya, sambil berlari menuju Abdullah bin Rawahah. Saiyidina Jaafar menemui syahidnya dalam keadaan badannya terbelah dua. Lalu Allah gantikan dua tangannya dengan sayap lantas terbang ke syurga.

Saiyidina Abdullah bin Rawahah menerima bendera yang sudah koyak itu dari Jaafar lalu meneruskan pertempuran hingga ke titisan darah terakhir. Berlakulah janji Rasulullah saw, ketiga-tiga panglima perang ini menemui syahid mereka di Muktah.
Selepas itu bendera itu diambil oleh Thabit bin Al Arqam dari Bani Ajalan, lalu melaungkan: “Wahai kaum muslimin, mari kita pilih calon yang sesuai mengetuai kita.”, kerana beliau tahu ketidak mampuan dirinya memimpin. Maka, akhirnya bendera Islam diserahkan kepada Khalid bin Al Walid, pedang dari pedang-pedang Allah.






Gambar Hiasan 


Khalid yang menyedari pertempuran berjalan tidak seimbang lalu mengatur strategi. Ketika itu pertempuran hanya berlaku di waktu siang. Di waktu malam, beliau merancang dan menyusun tentera-tentera Islam. Pasukan sayap kanan ditukarkan ke sayap kiri, begitulah sebaliknya. Pasukan belakang, dikehadapankan, begitulah sebaliknya. 
Di belakang pasukan tentera Islam Khalid letakkan satu pasukan berkuda yang membawa dahan dan ranting kayu, mengheretnya di padang pasir agar timbul debu-debu yang berterbangan. Seolah-olah pasukan bantuan tiba. Ada kumpulan yang bertakbir dan tahlil beramai-ramai untuk menambahkan kegerunan musuh.
Gabungan qiamulail di malam hari, merintih, mengadu pada Tuhan dan strategi peperangan dari seorang yang pakar ternyata berhasil. Bantuan Allah pun sampai. Ketakutan menyelubungi hati tentera-tentera Rom dan arab Badwi. Wajah-wajah yang berperang, sudah berubah. Bukan muka-muka yang mereka lihat sebelum ini. 
Ditambah dengan debu-debu yang tebal berterbangan di belakang pasukan tentera muslim dan takbir dan tahlil yang bergema hebat, seolah-olah ada bantuan ketenteraan yang sampai. Ia menggentarkan hati tentera. Malah ada ketikanya kuda Saiyidina Khalid sampai berdekatan dengan khemah ketua tentera lalu Rom lalu menarik diri dari medan pertempuran. 

Bilangan 3000 pun mereka belum berjaya hadapi, betapa lagi kalau bergabung dengan tentera tambahan. Di saat kucar-kacir tentera Rom ini, Saiyidina Khalid mengambil peluang mengundurkan diri, menyelamatkan sahabat-sahabat dari jumlah kematian yang mungkin bertambah.



Perang yang telah berjalan selama seminggu  itu berakhir tanpa ada kemenangan total dari kedua pihak, kaum muslim kehilangan 13 orang tenteranya yang menemui syahid sedangkan di pihak Rom seramai 3350 orang. 
Tetapi melihatkan angka kematian berbanding jumlah tentera, moralnya Rom kalah dalam pertembungan pertamanya dengan tentera Islam. Satu angka yang ajaib, 200,000 orang menentang 3000 orang hanya membabitkan kematian 12 orang Islam sahaja. 

Pun begitu, hanya ada 3 maqam sahaja yang masih kekal hingga ke hari ini, medan Peperangan Muktah bersama runtuhan masjid lama dan landmark Medan Muktah berbentuk kubah sebagai bukti untuk dilawati.





Maqam Saidina Zaid bin Harithah ra



Makam Saiyidina Jaafar Abi Thalib ra



Maqam Abdullah Rawahah ra


Al - Fatihah

Wallahua'lam


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...