Tuesday 4 October 2011

SIAPAKAH YANG LEBIH JAHAT ANTARA AKU DAN FIRAUN ?

Gambar Hiasan

Khalifah Makmun adalah seorang pembaca khutbah yang tidak disenangi oleh para ulama dan golongan orang soleh.  Boleh dikatakan Khalifah Makmun adalah pemerintah yang zalim, mempunyai ramai musuh dan disebabkan itulah tidak ramai orang yang berani menegurnya.

Pada suatu hari, Khalifah Makmun mengunjungi Kota Basrah untuk menunaikan Solat Jumaat. Masjid yang beliau pergi itu merupakan Masjid tempat kelahiran Imam Hasan Basri. Apabila khutbah dibacakan, pembaca khutbah menyebut namanya dengan cara yang tidak sopan. Walaubagaimanapun, Khalifah Makmun hanya bersabar dan mampu menahan sahaja kemarahnnya.

Pada minggu berikutnya, Khalifah Makmun menunaikan Solat Jumaat di Masjid lain.  Secara kebetulan, pembaca khutbah itu merupakan orang yang sama yang menghinanya pada minggu lepas. Dalam khutbah itu, khatib tersebut menyebut, “Pemerintah Khalifah Makmun adalah pemerintah yang zalim. Kita semua berdoa supaya beliau dilaknat Allah.”

Selesai Solat Jumaat, khatib itu diperintahkan supaya berjumpa Khalifah Makmun. Sebaik sahaja khatib itu bertemu dengan Khalifah Makmun, maka bertanyalah Khalifah Makmun kepadanya, “Wahai tuan khatib, antara kamu dengan Nabi Musa, siapakah yang lebih baik?.”

Kemudian khatib itu menjawab, “sudah tentu Nabi Musa lebih baik daripada aku.”

Kemudian Khalifah Makmun menyambung, “saya juga berfikir begitu. Tetapi pada pendapat kamu siapakah yang lebih jahat antara aku dengan Firaun?.”

Khatib itu terkejut dan terdiam seketika lalu menjawab, “sudah tentu Firaun lebih jahat daripada engkau wahai Khalifah Makmun.”

“Walaupun Firaun begitu jahat dan kejam, tetapi Allah memerintahkan Nabi Musa supaya berlemah lembut kepadanya. Bagaimana sekiranya engkau bacakan ayat itu untuk renungan bersama?” perintah Khalifah Makmun kepada khatib itu.

Gambar Hiasan


Pembaca khutbah itu segera menjawab. Katanya, “Berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut,  mudah-mudahan ia ingat dan takut.”

Kemudian Khalifah Makmun terus berkata, “Jika begitu, bagaimana jika saya minta tuan menegur saya dengan cara yang sopan dan berlemah lembut kerana tuan tidaklah sebaik Nabi Musa dan saya pula tidaklah sejahat Firaun.”

Khatib itu berasa bersalah dan sangat malu. Akhirnya dia memohon maaf kepada Khalifah Makmun dan berjanji akan berlemah lembut apabila menegur orang.

Wallahua'lam



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...